Saturday, 3 December 2011

BAHASA MELAYU BAHAGIAN B

Pilih satu daripada tajuk-tajuk di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

1. " Aku sukar hendak melelapkan mata. Pada malam itu...... " Mulakan karangan kamu 
    dengan  " Pada malam itu......... "

                                                                           ATAU

2. Dua hari lagi kamu akan menduduki peperiksaan UPSR. Tuliskan catatan persediaan 
    akhir kamu menjelang hari peperikasaan tersebut.

                                                                           ATAU

3.  Kamu telah dilantik sebagai ketua pengawas sekolah. Kamu telah diminta 
     menyampaikan ucapan dalam satu majlis rasmi. Sediakan teks ucapan kamu itu
     selengkapnya.




Contoh Jawapan
Soalan 1


Rangka karangan

Tajuk : Berpindah Ke Rumah Baru

Pengenalan
* perasaan suka dan sedih ~ berbaur di dalam hati
* dibayangi oleh khayalan ~ payah untuk menerima hakikat

Isi 1
* memandang ~ bilikku
* hari terakhir tidur di sini ~ berpindah ke rumah lain
* hakikat yang amat sulit ~ realiti

Isi 2
* awal pagi ~ kawan-kawan menolong
* bertungkus-lumus ~ memuatkan barangan ke lori
* menaiki lori ~ ke rumah baru

Isi 3
* sampai di rumah baru ~ memunggah barang
* menyusun barang / perabot ~ tempat yang sesuai
* bersedia ~ cuba untuk menyesuaikan diri

Isi 4
* membersihkan rumah ~ makan tengah hari
* beli makanan ~ gerai berhampiran
* penat ~ makan dengan selera

Penutup
* tiga bulan telah berlalu ~ rumah baru
* masih terkenang rumah lama ~ terkenang kawan-kawan


Karangan lengkap

Berpindah Ke Rumah Baru

           Pada malam itu, emosiku tidak menentu. Perasaan suka dan sedih bercampur baur di dalam hatiku. Jiwaku dibayangi oleh khayalan yang bukan-bukan dan amat payah untuk aku menerima hakikat yang sebenar.
  
          Aku memandang sekeliling bilikku. malam itu merupakan kali terakhir aku tidur di bilik itu kerana aku akan berpindah ke rumah lain. Inilah hakikat yang amat sulit untuk ku jadikan sebagai realiti.

          Awal-awal lagi kawan-kawanku datang untuk menolong. Aku dan keluargaku serta kawan-kawanku bertungkus-lumus memuatkan barangan rumahku ke dalam lori. Seterusnya, aku menaiki lori menuju ke rumah baru.

          Sesampai sahaja aku di rumah baru, aku dan ayah memunggah barangan dari dalam lori. Sementara itu, keluargaku yang lain sibuk menyusun barangan dan perabot di tempat yang sesuai. Hatiku mula bersedia untuk cuba menyesuaikan diri di tempat baru itu.

          Selepas bertungkus-lumus membersihkan rumah, kami pun makan tengah hari bersama-sama. Ayah membeli makanan dari sebuah gerai yang berhampiran. Setelah penat berkemas, kami menikmati hidangan tengah hari dengan begitu berselera.

          Kini, sudah tiga bulan aku dan keluarga tinggal di rumah baru. Namun, hatiku masih terkenang akan rumah lama dan kawan-kawan yang baik budi.